Memelihara Iman (Bhg. 1)
- titiantimurbarat
- Jul 1, 2023
- 2 min read
Updated: Jul 4, 2023
Setiap anak muda pasti ada keinginan untuk melanjutkan pengajian di menara gading, khususnya di IPTA terkemuka negara. Namun begitu, tidak ramai anak muda yang terlalu memikirkan aspek kerohanian mereka ketika sudah melanjutkan pengajian. Apa lagi apabila mereka sudah jauh daripada pemantauan ibu bapa mereka.
Ketika saya melanjutkan pengajian sekitar 11 tahun yang lepas di Tanah Semenanjung, itulah detik pertamanya saya berjauhan dengan keluarga. Perkara pertama yang saya fikirkan sebelum melanjutkan pengajian adalah saya mesti mencari gereja terdekat dan juga mencari teman seiman seramai mungkin di kampus nanti.
Jika tidak seperti itu, saya berfikir akan ada kemungkinan saya akan meninggalkan Tuhan suatu hari nanti, sama ada disebabkan oleh godaan ataupun cubaan. Kerana banyak cerita yang saya dengar semasa berada di kampung bahawa ramai orang Kristian yang dahulunya aktif ke gereja dan setia melayani Tuhan, namun pada akhirnya tidak lagi ke gereja dan telah meninggalkan Tuhan selepas berada di perantauan. Oleh itu, secara peribadi saya tanamkan di dalam hati saya bahawa saya tidak mahu hal itu terjadi kepada saya. Saya harus memelihara iman saya. Saya tidak mahu memalukan keluarga saya.

“Hendaklah kita perhatikan satu sama lain, supaya kita dapat saling memberikan dorongan untuk mengasihi satu sama lain dan untuk melakukan hal yang baik. Janganlah kita hentikan kebiasaan berkumpul bersama-sama, seperti yang dilakukan oleh beberapa orang saudara. Sebaliknya lebih-lebih lagi kita harus menggalakkan satu sama lain, kerana kita tahu bahawa tidak lama lagi Tuhan akan datang.”
(Ibrani 10:24-25, ABB)
Bagi kita anak muda yang sedang berada di perantauan atau merancang untuk merantau jauh daripada ahli keluarga, mari kita pegang Firman Tuhan ini di dalam hati kita.
Ingat - sebagai orang yang percaya bahawa Yesuslah jalan, kebenaran dan hidup untuk menuju kepada Bapa di syurga. Kita bukan sahaja bertanggungjawab untuk memelihara iman kita kepada Yesus, tetapi kita juga mempunyai tanggungjawab untuk menjaga iman teman seiman kita yang lain. Oleh itu, mari kita saling memperhatikan, saling mendorong dan saling menegur supaya kita semua tetap teguh di dalam Tuhan.
Ingat - di mana pun kita berada dan sesibuk apa pun, kita jangan pernah tinggalkan persekutuan di antara teman seiman. Carilah gereja untuk berakar, bertumbuh dan berbuah di dalam Yesus.
Akan bersambung lagi...
-----------------------

Ricky Jawan berasal dari Kota Marudu, Sabah, dan telah memperolehi ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri (Kepujian) dari Universiti Selangor (UNISEL) pada tahun 2016. Beliau kini menyandang peranan Junior Training Assistant di dalam sebuah organisasi misi sambil melayan sebagai Pengerusi di SIB Shah Alam.
Comments